SAYA ingin mengulas pandangan seorang Anggota Parlimen (AP) Bebas Malaysia yang membuat dakwaan mengenai orang Melayu Singapura dan mantan perdana menteri pertama kita (BH, 22 Disember).
Dalam laporan itu, beliau meminta penduduk Muslim Malaysia melihat "Apa yang berlaku di Singapura" takut-takut akan terjadi pula di Malaysia nanti.
Menurutnya, umat Islam di Singapura "dipinggirkan selepas menjadi alat kepada mantan Perdana Menteri Encik Lee Kuan Yew dan PAP untuk memperoleh kuasa".
Patutkah beliau sebagai seorang AP mengeluarkan kata-kata sebegitu hanya kerana untuk kepentingan politiknya?
Setahu saya, kita di Singapura tidak masuk campur dalam hal politik mereka. Kami rakyat Singapura tidak kira bangsa dan agama berasa bangga atas apa yang dilakukan mantan perdana menteri semasa beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan mendapatinya adil dan bijaksana dalam menjalankan tugas sehingga Singapura terkenal di mata dunia.
Saya cadangkan agar AP Bebas Malaysia itu datang ke Singapura dan melihat dengan mata kepalanya sendiri apa yang sedang berlaku di Singapura.
Kedudukan Muslim di Singapura sentiasa terjamin dan kami tidak dipinggirkan seperti yang didakwa.
Saya harap beliau sebagai AP yang dipilih rakyat itu dapat membuat kajian sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak benar.
Berjuanglah dalam gelanggang anda sendiri, usah masuk gelanggang orang dan usah cuba lagakan umat Islam di rantau ini.
- Eusope Musawa/bhs
Murid buktikan pada guru lembu makan martabak
15 hours ago