Inilah sebuah kerajaan yang sangat zalim di mana pada ketika genting tentang soal sakit dan mati pun pemimpin kerajaan zalim ini masih tidak bertimbangrasa. Sudahlah mereka Allahyarhamah disiksa selama 7 tahun kerana dipisahkan dengan ayahanda tercinta, dibesarkan tanpa belaian ayahandanya, pada ketika beliau akan pergi buat selama-lamanya pun kerajaan Bn masih terus menzalimi beliau. Sampai hati kerajaan BN dan Menteri Dalam Negeri menyiksa beliau dan keluarganya sehingga ke tahap yang kita boleh katakan TIDAK WARAS.
Kita semua yakin KEZALIMAN yang sudah sampai ke kemuncak ini akan tetap mendapat BALASAN AZAB di sisi Allah kalau tidak di dunia sudah pasti di AKHIRAT akan dibalasNYA. Ingatlah kebaikan atau kejahatan sebesar ZARAH pun akan dikira dan dihitung oleh Allah dan akan diberi pembalasan setimpal.
Apakah kerajaan BN dan Menteri Dalam Negeri tidak takut akan pembalasan Allah ini. Kita hidup tidak lama, janganlah kita bermegah dengan kuasa, pangkat dan harta benda. Takutlah kepada doa orang yang kena zalim, sesungguhnya tiada hijab doa mereka dengan Allah.
Bapa kandung Allahyarhamah, Shahrial Sirin yang dilaporkan bertolak dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar jam 1.00 tengahari tadi masih belum tiba di hospital.
(Kita hairan mengapa setelah 5 jam beliau bertolak dari Kamunting bapanya belum sampai sehingga di saat Allahyarhaman meninggal pun bapanya belum kelihatan)
Aina Mardhiah menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Fatma dan ahli keluarga terdekat.
Anak sulung pasangan terbabit dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam dan berada dalam keadaan koma sehingga disahkan meninggal dunia.
Shahrial ditahan di Kem Tahanan Kamunting sejak tujuh tahun lalu.
Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA), untuk mendapatkan pelepasan sementara Shahrial bagi menziarahi anaknya menghadapi kerenah birokrasi yang cukup memeritkan.
"Walaupun permohonan telah dibuat awal (semalam) namun, jam 1.00 petang tadi barulah pelepasan itu dapat diberikan, inikah moral kerajaan tatkala soal nyawa anak tahanan menjadi taruhan," kata Aliza Jaffar salah seorang ahli PSK GMI yang ditemui di Hospital Kajang sebentar tadi.
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman turut berada di hospital setelah mendapat berita pemergian Aina Mardhiah.
"Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada keluarga Allahyarhamah dan memberi balasan setimpal kepada mereka yang menzalimi keluarga ini," ujar Lutfi kesal.
Saya menggesa kerajaan BN dan Menteri Dalam Negeri memohon maaf dan membebaskan Shahrial dan semua tahanan ISA serta merta ataupun hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.
Sebahagian artikel dipetik dari Harakahdaily.
Gambar : Jenazah Allahyarhamah di hospital untuk dibawa pulang ke rumahnya dan gambar adik-adik Allahyarhamah