Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mencadangkan kepada TV3 agar menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta seperti yang berlaku dalam slot 'Sirah' dalam rancangan Al-Hidayah TV3.
Difahamkan rancangan ini dikendalikan oleh penceramah motivasi terkenal Ustazah Siti Norbayah Mahmood yang dikenali dengan cadangan teknik cakar harimaunya untuk memikat hati suami.
Ketika dihubungi, Dr Asri berkata, banyak pihak telah mengadu kepadanya mengenai Slot Sirah dalam Rancangan al-Hidayah TV3 yang dikendali oleh seorang ‘ustazah.’
"Saya tidak dapat memberi respon sebelum ini kerana tidak berkesempatan menontonnya. Pada 13hb Julai 2008 yang lepas saya berkesempatan menontonnya pada waktu pagi.
"Ternyata apa yang menjadi kegusaran banyak pihak itu benar. Ustazah berkenaan telah menceritakan tentang Nabi ‘Isa a.s. tanpa berdasarkan sumber-sumber yang sahih. Bahkan kisah itu dibaluti dengan kekarutan yang amat sangat.
"Beliau mengisbatkan bahawa Maryam ibu Nabi Isa wafat sebelum Nabi a.s. dan mengemukakan kisah yang tiada sumber yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Bahkan bertentang juga dengan Bible.
"Kemungkinan besar beliau mengutip kisah ini daripada laman web Syiah sempena Perayaan “Mengingati Kewafatan Maryam” yang diraikan oleh Syiah Imamiyyah," kata Dr Asri yang terkenal dengan kelantangannya menegur sesuatu yang tidak betul.
Katanya lagi, kecenderungan penceramah-penceramah sebegini mengambil sumber-sumber yang tidak sahih tentang agama; termasuk hadis palsu dan riwayat Israiliyyat boleh mengelirukan orang awam mengenai Islam yang sebenar.
Oleh itu orang ramai diminta berhati-hati dalam mempercayai kisah-kisah yang dimuatkan dalam rancangan tersebut.
Dr Asri berkata, pihak stesen TV perlu menyemak latar belakang penceramah dan isi kandungan yang bakal disampaikan untuk mengelak berulang kesilapan fakta.
"Kalau rancangan itu (mengenai) sirah, semak dengan orang (yang mahir) sirah. Kalau syariah, semak dengan orang yang berkelayakan dalam syariah, semak dengan orang yang betul-betul ahli," katanya.
"Apa saja yang melibatkan fakta dalam agama, kena hati-hati," kata Dr Asri.