Anwar berucap di stadium Kelana Jaya

Monday, July 7, 2008


PROTES MARATON... Siri ucapan pembangkang mengkritik kerajaan menaikkan harga minyak, berkuat kuasa awal bulan lalu, mewarnai perhimpunan Protes Sejuta Rakyat anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) bermula pukul 10 pagi semalam. Perhimpunan akan berlarutan sehingga 12 tengah malam.

Wartawan mStar Online, ARIFFUDIN ISHAK dan LEE YAN XIU yang berada di lokasi berkata, sehingga pukul 9 malam kira-kira 10,000 orang membanjiri Stadium Kelana Jaya, Selangor.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama keluarganya tiba kira-kira pukul 9.30 malam. Dalam ucapannya Anwar menyentuh isu dakwaan meliwat dihadapi beliau dan juga menyatakan keseidaan untuk mengambil bahagian forum debat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini.

Pihak polis pula menguatkuasakan pemeriksaan ketat ke atas kenderaan yang menuju ke ibu negara dan ke Kelana Jaya, bermula sejak awal pagi semalam. Rondaan dari udara dilakukan oleh PDRM. Tiada sebarang tangkapan ataupun kejadian tidak diingini dilaporkan.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli menjangkakan sejuta orang akan mengambil bahagian dalam perhimpunan hari ini tetapi secara purata ia hanya dapat menarik kira-kira 20,000 orang sejak awal pagi semalam. Kira-kira 2,500 anggota Pemuda Pakatan Rakyat ditugaskan untuk mengawal perhimpunan. Polis juga mula memperketatkan kawalan di sekitar stadium tersebut.

Sejak pagi semalam, lebih 10 pemimpin peringkat pertengahan Pakatan Rakyat menyampaikan ucapan di samping persembahaan pentas yang menimbulkan kecoh. Antara pemimpin yang berucap termasuklah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahimm, penyelaras perhimpunan Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS; Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez; anggota Parlimen Batu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua, pemimpin Hindraf S. Jayathas, anggota Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu dan Anggota Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa.

Pemimpin pembangkang lain yang hadir dalam perhimpunan itu termasuk Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PAS Mohamed Sabu serta Penasihat DAP Lim Kit Siang