Kos senggara sebuah Proton Perdana V6 Executive dalam usia empat tahun mencecah sehingga RM175,229.97 - kira-kira RM45,000 lebih tinggi daripada harga beliannya iaitu RM130,000. Sebuah lagi ‘menghisap’ RM132,357.76 bagi tempoh yang sama.
Begitulah pengalaman kerajaan negeri Terengganu yang memiliki 14 buah kereta nasional berkenaan untuk kegunaan rasmi para pentadbir kanannya. Akibat kos senggara yang sangat tinggi itu, kerajaan tersebut tidak mampu lagi menghabiskan wang rakyat untuk tujuan itu.
Sebaliknya, kerajaan pimpinan Menteri Besar Datok Ahmad Said itu membuat rumusan dan keputusan bahawa Proton Perdana adalah tidak sesuai untuk kegunaan rasmi para pentadbir dan akhirnya membeli 14 buah Mercedes Benz E200 Kompresor.
Sebagai justifikasi atau menghalalkan langkah tersebut, Ahmad Said menonjolkan Mercedes Benz yang digunakannya adalah kereta yang telah digunakan sejak 18 tahun lalu dan masih boleh bertahan jauh lebih baik daripada Proton Perdana yang baru berusia empat tahun.
Kerajaan Negeri Terengganu juga mengesahkan kesemua kereta rasmi itu dipesan terus daripada EON yang memberi maksud ‘tidak ada kong-kalikong’ dalam pembeliaannya.
Jika benar kereta-kereta rasmi kerajaan negeri Terengganu itu menghadapi masalah yang sangat serius itu, Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) harus bangkit dari bangku empuknya dan menyiasat ‘what when wrong’?