Buku Anwar On Trial :nukilan Pawanchek Marican akan menemui pembaca di 10 kawasan bermula 10 Januari sehingga 24 Januari ini menerusi Program Jelajah 10 Kota yang berkonsepkan forum penerangan mengenai kronologi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin berkata, jelajah ini pastinya menarik kerana pelbagai percanggahan fakta yang ketara di peringkat pendakwaan akan dirungkaikan.
Menurutnya, jelajah ini juga akan memberi penerangan mengenai perkembangan perbicaraan kes liwat kedua Anwar yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2010 ini.
Beliau berkata, forum ini yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Aman dan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) bertujuan untuk merungkai konspirasi ini berdasarkan perspektif perundangan sivil dan syariah melalui tokoh-tokoh yang diketengahkan kelak.
“Forum ini juga akan mengupas kes Datuk Seri Anwar daripada perspektif sivil dan syariah, serta pendekatan santai oleh pihak penganjur untuk memudahkan golongan sasaran memahami intipati forum ini,” katanya ketika beliau dihubungi semalam.
Forum pertama akan diadakan hari ini iaitu di Cheng, Melaka; Pulau Pinang dan Alor Star, Kedah (15 Januari), Taman Sri Puteri, Johor (16 Januari), Kuala Kangsar, Perak (16 Januari), Kota Baru, Kelantan (22 Januari), Kuala Terengganu, Terengganu (23 Januari) dan Kuantan, Pahang (24 Januari).
Perbicaraan kes liwat Anwar ditetapkan bermula 25 Januari ini selepas permohonannya untuk membuang kes tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 1 Disember lalu.
s/h12