Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang mencetuskan polemik gara-gara penulisannya terhadap Pas, kesal dengan Jabatan Penyiaran (RTM 1), yang dilihat tidak bersikap profesional membatalkan rancangan yang mengundangnya di saat akhir.
Menurutnya, beliau telah diundang minggu lalu menjadi salah seorang panel bagi rancangan bual bicara ‘Di Luar Lingkungan’ bersama-sama bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin. “Saya dihubungi pihak RTM, dan bersetuju hadir menjadi panel dengan tajuk yang telah diberikan iaitu ‘Islam Dicabar'.
“Bagaimanapun, pada hari ini (semalam) saya dimaklumkan bahawa rancangan itu dibatalkan dengan memberikan alasan pihak kementerian telah membatalkannya,” katanya. Aziz berkata, keadaan itu bukanlah kali pertama dihadapinya sewaktu diundang menjadi panel bersama RTM.
“Saya tidak faham, mengapa perkara ini boleh berlaku. Sekiranya isu yang ingin dikupas terlalu sensitif, mengapa pula, sedangkan pihak RTM sendiri yang memberikan tajuk.
“Namun sebagai penonton, orang ramai pastinya hampa apabila ilmu pengetahuan yang sepatutnya dikongsi bersama ahli panel terpaksa dibatalkan,” katanya kepada Sinar Harian. Sementara itu, sumber RTM berkata, program itu tidak dibatal, tetapi ditangguhkan sementara berikutan isu kalimah Allah yang masih dibicarakan di mahkamah.
s/ha13?