Jangan ikut style Malaysia

Wednesday, January 13, 2010



Pertubuhan-pertubuhan Islam di Indonesia digesa supaya mengingatkan pengikut masing-masing supaya tidak melakukan tindakan menyerang gereja seperti yang berlaku di Malaysia.

 


Hubungan toleransi agama di Malaysia tegang setelah mahkamah di Kuala Lumpur menggugurkan larangan penggunaan nama ‘Allah’ oleh penganut agama lain selain Islam. 


Sarjana Islam, Azyumardi Azra berkata, walaupun penganut Islam Indonesia lebih bertolak ansur mengenai penggunaan nama Allah oleh bukan Islam, masih terdapat kemungkinan kejadian sama berlaku di Indonesia oleh sesetengah golongan radikal.

“Perkara ini boleh juga berlaku di Indonesia kerana terdapat beberapa kumpulan kecil yang cenderung mengambil tindakan seperti itu. Mereka sering mencetus kekacauan walaupun dalam skala kecil,” katanya.

Azyumardi menggesa kerajaan supaya mengadakan kempen menentang serangan ke atas gereja dengan melibatkan pertubuhan Islam seperti Nahdatul Ulama (NU), Muhammadiyah dan Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Kempen ini mesti turut membabitkan beberapa institusi lain termasuk polis dan Kementerian Hal Ehwal Agama.

“Apa yang penting adalah memberitahu umum supaya tidak membenar tindakan sama seperti itu berlaku di Indonesia,” kata Azyumardi lagi. 

Beberapa tokoh NU dan Muhammadiyah menggesa penganut Islam Indonesia supaya tidak terpengaruh dengan insiden serangan gereja di Malaysia.

“Jangan terpengaruh dengan insiden di Malaysia. Jangan serang gereja. Ini bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang negara,” kata Timbalan Pengerusi NU, Shalahuddin Wahid.

Bekas pengerusi Muhammadiyah, M Syarif Maarif menegaskan mengenai kepentingan pertubuhan-pertubuhan agama seperti NU dan Muhammadiyah dalam mengajak pengikut mereka supaya tidak menyelesaikan sesuatu masalah dengan keganasan.

s/harian13