Pengganti Anwar belum dibincang

Tuesday, January 26, 2010


Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu siapa pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) bergantung keputusan kes mahkamah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menurutnya, sama ada Anwar akan bersama dengan PR atau tidak selepas ini, agenda perjuangan pakatan pembangkang membela kepentingan rakyat tetap diteruskan.

“Mahkamah belum putuskan keputusan, jadi perlu tunggu selepas itu.

“Perkara ini (calon pelapis Anwar) belum dibincangkan dan tidak boleh cakap siapa layak,” katanya kepada wartawan, semalam.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan untuk terus mara dan menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.:

Katanya, PR tidak akan terjejas tanpa kepimpinan Anwar sekiranya keputusan perbicaraan kes liwatnya yang disambung bulan depan tidak memihak kepada pemimpin itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution ketika dihubungi bersetuju dengan pandangan Kit Siang itu.

“PR bergerak sebagai satu pasukan akan tetap bersaing dengan UMNO dan Barisan Nasional untuk mara sebagaimana Dasar Bersama PR,” katanya.

Menurutnya, PR mengadakan kempen penerangan kepada masyarakat agar mereka tahu perkara sebenar.

“Kita tidak mahu beliau dipenjarakan atas kesalahan yang bukan dibuat olehnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw enggan mengulas lanjut mengenai calon yang layak menjadi pelapis Anwar menerajui PR.

“Terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan,” katanya.

s/harian25/110