Adnan 'ugut' batal perjanjian air Selangor

Sunday, September 23, 2012

Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji dari segi peruntukan undang-undang untuk membatalkan perjanjian konsesi penyaluran dan

 

pembekalan air mentah ke Selangor sekiranya kerajaan Selangor masih berdegil dan tidak membenarkan projek Loji Air Langat 2 diteruskan. Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ini kerana kerajaan negeri Selangor tidak menghormati perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Pahang dan Selangor ketika itu.

 

Beliau berkata walaupun kerajaan Selangor kini bertukar, Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya menghormati perjanjian bekalan air itu.

 

"Saya berharap kerajaan Selangor tidak menjadikan bekalan air itu sebagai isu politik, kata nye.

 

"Kalau beliau MB Selangor masih terus berdegil, kerajaan Pahang akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri mengenai projek itu dan akan membatalkan perjanjian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Maha 2012 dan Jelajah Kesihatan Peringkat Parlimen Bentong di Dataran Bentong di sini, hari ini.

 

Turut hadir Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Anggota Parlimen Bentong. Adnan berkata jika perjanjian itu terbatal dan kerajaan Selangor ingin membuat perjanjian baharu dengan Pahang, pihaknya akan menyemak semula harga dan mungkin caj yang dikenakan lebih tinggi berbanding perjanjian sebelum ini.

 

Pada 22 Nov 2007, Pahang dan kerajaan negeri Selangor yang ketika itu di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional menandatangani perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu. Kerja pembinaan terowong bagi menyalurkan air mentah ke Selangor dari Pahang dijangka selesai pada tahun 2015.

 

Penyaluran air Pahang-Selangor merupakan projek kerajaan persekutuan yang dicadangkan sejak tahun 2000 dan dijangka menelan belanja RM2.9 bilion.

 

Adnan berkata setakat ini pembinaan terowong air di empangan Klau yang terlibat dalam projek berkenaan berada pada fasa terakhir.- Bernama