Selangor 'rasa gembira' jika perjanjian air batal, Adnan kantoi?

Tuesday, September 25, 2012

Kerajaan Negeri ‘merasa gembira’ sekiranya Kerajaan Negeri Pahang mahu membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak diteruskan. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, beliau percaya perkara itu juga menggembirakan rakyat negeri ini kerana secara tidak langsung Kerajaan Negeri tidak perlu membayar kira-kira RM80 juta setahun royalti air mentah kepada Kerajaan Negeri Pahang.

 

Katanya, Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob itu. “Kalau dia nak batalkan kita gembira dengan keputusan itu kerana kita tidak perlu bayar RM80 juta setahun.

 

“Tetapi, dia perlu nyatakan secara bertulis perkara ini dan bukannya setakat cakap di media atau sebagainya,” katanya mengulas kenyataan Adnan bahawa pihaknya akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor.

 

Xavier berkata, tiada masalah sekiranya Pahang mahu membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini kerana bekalan air mentah di Selangor mencukupi. Sebelum ini, perjanjian itu ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor yang ketika itu diwakili Dr Mohamad Khir Toyo pada kadar harga 10 sen bagi setiap meter padu dengan kuantiti 1.6 juta meter padu sehari.

 

Malah, Adnan juga mengugut jika Kerajaan Negeri tidak meneruskan Langat 2 pada masa sekarang dan ingin menyambungnya pada masa hadapan, harganya akan dinaikkan kepada RM1 bagi setiap meter padu.

 

Xavier berkata, beliau difahamkan pembinaan terowong siap 60 peratus dan Adnan perlu menjawab perkara itu kepada Kerajaan Pusat. – s/harian