Datuk Noh Dahya Jabatan Agama Islam Kedah, Jaik membenarkan khatib membaca khutbah Jumaat berunsur politik selagi ia tidak lari dari landasan ajaran Islam. Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, khatib dibenarkan berbuat demikian selagi ia tidak tersasar dari agama Islam.
“Kalau politik itu untuk kebaikan dan mempunyai unsur-unsur keagamaan tidak mengapa. Tetapi sekiranya ia bertujuan untuk mengata seseorang memang tidak dibenarkan kerana boleh menimbulkan kekacauan,” kata kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu tindakan seorang khatib yang membaca khutbah Jumaat berunsur politik baru-baru ini. “Difahamkan, khatib yang berbuat demikian adalah bukan daripada imam yang mendapat pentauliahan daripada Jaik. Sebaliknya dia hanyalah seorang imam atau khatib jemputan.
“Bagaimanapun, Jaik masih belum menerima laporan penuh berhubung perkara itu,” katanya. Noh berkata, sekiranya imam yang dilantik Jaik membuat kesalahan atau membaca teks khutbah berunsur politik melampau, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, masih belum ada rekod kesalahan itu di negeri ini.
Berhubung insiden yang berlaku, Jaik akan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum apa-apa tindakan diambil kepada khatib tersebut kerana masih belum mendapat laporan penuh.