Ibrahim Ali mabuk bahasa Melayu

Sunday, March 20, 2011


Saudara Pengarang,

KENYATAAN Datuk Ibrahim Ali mengenai bahasa Melayu dalam Kitab Injil adalah sangat tidak rasional, tidak menghormati langsung rakyat Sabah dan Sarawak dan jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak mempunyai semangat 1Malaysia.

“Tak masuk akal kenapa sesetengah pihak berkeras hendak edar Injil bahasa Melayu walhal secara rasmi semua orang Melayu adalah beragama Islam. Kalau nak edar di kalangan masyarakat di Malaysia Timur, kenapa tidak dikeluarkan ikut dialek masing-masing? Kenapa mesti dalam bahasa Melayu yang bukan 'their mother tongue' (bahasa pertuturan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media. (Malaysiakini)

Agaknya Datuk Ibrahim belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia Timur. (We call it Borneo Datuk). Agaknya beliau masih beranggapan bahawa rakyat di sini masih tinggal di dalam hutan ataupun masih tinggal di atas pokok. (Itu adalah anggapan sebilangan orang di Semenanjung Malaysia). Jika memang sedemikian, memang amat memalukan, nama sahaja orang Malaysia tapi tidak mengenali Malaysia secara keseluruhannya.

Tidak tahukan beliau bahawa Bahasa Melayu juga adalah bahasa pertuturan majoriti rakyat Sabah & Sarawak? Bahawa selepas Sabah & Sarawak bergabung dengan Malaysia, rakyat di negeri ini terpaksa mempelajari Bahasa Melayu kerana menghormati Persekutuan? (juga disebabkan oleh Sistem Pendidikan yang digubah oleh Kerajaan Persekutuan)

Disebabkan BM, sebahagian pemuda/pemudi generasi baru tidak fasih berbahasa ‘mother tongue’ mereka?

Kenyataan tersebut adalah sangat mengecewakan. Datuk Ibrahim dan PERKASAnya adalah orang yang lantang bercakap mengenai hak orang Melayu tetapi mengetepikan hak-hak bangsa lain. Begitu asyik dengan ketuanan Melayu sehingga lupa dengan Ketuanan Borneo.

Kami juga punya hak Datuk! Kami juga rakyat Malaysia!

Salam Hormat,

BORNEO WARRIOR/sabakini