Tarikh yg sama 9 julai, perhimpunan di Sabah dihalang Polis

Wednesday, July 13, 2011


KEGEMPARAN yang berlaku di hadapan Majlis Daerah Keningau pada 9 Julai 2011 sehingga mengundang ramai polis mengepung kawasan berkenaan adalah satu salah faham mengenai dakwaan NGO akan menganjurkan Demonstrasi Bersih di Batu Sumpah, Keningau.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu dan tiga rakannya, Clifford F Spencer, Prakas V Natesan dan Duin Daud Bintarang mengakui terkejut dengan ‘sambutan luar biasa’ polis yang mengepung tempat berkenaan, kononnya akan berlaku perhimpunan haram; sedangkan beliau telah mengumumkan pada 17 Jun 2011 melalui Surat Pembaca bertajuk ‘Perjanjian Malaysia Batal Dan Tidak Sah?’ berhubung majlis yang akan berlangsung di Batu Sumpah itu.

“Saya agak kesal kerana Media Arus Perdana memburukkan nama saya dan rakan seolah-olah kami bersama ‘Bersih’ menganjurkan ‘Perhimpunan Haram’ sedangkan umum sudah mengetahui tujuan kami dan kerana itu mereka turut datang tetapi bersurai setelah dihalang polis,” ujar Patrick yang merasa kesal dengan sikap tidak bertanggung jawab Media Arus Perdana yang memutar belit fakta.

Sebagai warganegara yang merdeka sejak 47 tahun lalu dan sebagai Jaksa Pendamai, kata Patrick, beliau akur kepada kehendak undang-undang, bahawa perhimpunan yang melebihi lima orang memerlukan permit polis; maka beliau mengecilkan rombongannya kepada empat orang.

“Kami hanya ingin melancarkan sahaja Program Pungutan Suara berkenaan mengikut adat istiadat Anak Negeri di Batu Sumpah, Keningau dan bukannya mahu berkumpul secara haram atau menganjurkan ‘Bersih’,” kata Patrick yang berjaya melepasi kawalan keselamatan melalui pintu bahagian belakang yang tidak dikawal bersama rakan-rakannya.

Oleh kerana tarikh penganjuran ‘Bersih’ bersamaan dengan tarikh Dokumen Perjanjian Malaysia ditandatangani di London, maka kata Patrick, beliau tidak dapat menunda tarikh berkenaan dan terpaksa menghadapi pelbagai rintangan sebelum dapat memasuki kawasan Batu Sumpah melalui jalan rahsia ke belakang bangunan.

Kata Patrick, mereka kemudiannya beredar ke Tamu berdekatan untuk kempen tandatangan sebelum ke Nabawan untuk tujuan yang sama; sebelum dilancarkan serentak ke seluruh Sabah melalui kerjasama beberapa NGO.

Memandangkan Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 dianggap Peguam Negara British, QC Anthony Lester, sebagai ‘Batal dan Tidak Sah’ kerana Brunei tidak menandatanganinya dan Singapura menarik diri pada 1965, maka beliau telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kempen Tandatangan bagi merayu Kerajaan Malaysia dan British mengkaji semula Perjanjian Malaysia, terutama kedudukan Perjanjian 20 Perkara yang telah menjadi asas Perjanjian Malaysia.

“Antara isu utama yang paling meruncing di Sabah ialah isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang telah gagal ditangani Kerajaan Persekutuan sehingga mengancam kedaulatan Malaysia, terutama rakyat Sabah yang terpaksa hidup di tengah-tengah ‘Bom Jangka’ yang bergerak,” ujar Patrick yang menjadikan PATI sebagai tamsilan ‘Bom Jangka’.


Tegas Patrick, pada 25 Januari 2007, pihaknya telah menghantar Memorandum kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat isu kerakyatan songsang di Sabah dan keselamatan rakyat Malaysia di Sabah.

“Kita ada terima respon positif daripada Duli Tuanku dan kita harap agar Pungutan Tandatangan ini akan memangkinkan lagi usaha murni kita,” ujar Patrick yang menyatakan beliau akan menghantar Memorandum Bertandatangan berkenaan kepada Ratu Elizabeth pada November 2011.- Mutalib MD