siapa sebenarnya Zahrain, KDN perlu siasat

Monday, March 22, 2010


Siasatan terhadap Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim perlu diperluas, bukan sahaja membabitkan kenyataan beliau pada sidang Dewan Rakyat tempoh hari, tetapi mencakupi keperibadiannya sebagai bekas ahli Parti Keadilan Rakyat.


Mohd Nasir Zakaria Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas berkata, sekiranya siasatan dibuat berhubung kenyataan yang mengaitkan isu 16 September sahaja, ini menunjukkan siasatan tidak telus dan tidak menyeluruh.

“Siasatan juga perlu dibuat untuk mendedahkan kenapa Zahrain lompat parti dan mengkhianati kepercayaan rakyat, sama ada mempunyai agenda peribadi atau sebaliknya,” katanya.

:Mohd Nasir mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk menyiasat kenyataan Zahrain mengenai usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada 16 September tahun lalu.

:Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan sememangnya boleh diambil terhadap Anwar terutamanya kerana menghasut.

Sekiranya KDN mengandaikan terdapat kes yang perlu disiasat, pihaknya mengalu-alukan penyiasatan itu, supaya pendedahan dapat dibuat mengenai siapa Zahrain sebenarnya, tambahnya lagi.

“Sebahagian daripada lapan wakil rakyat yang didakwa kononnya diumpan Anwar menafikan mereka didekati Anwar, ini terbukti kenyataan Zahrain itu tidak benar. Siasatlah pembohongan Zahrain itu untuk dedahkan kebenaran,” katanya.

Menurutnya, Pas mahupun PKR tidak gentar dengan pendedahan terperinci Zahrain itu, kerana kebenaran akan terbukti setelah siasatan dibuat kelak.

“Apa yang dirisaukan jika di pihak yang benar. Saya minta KDN siasat juga sebab utama dia keluar parti, tentu ada perkara yang tidak memuaskan hati dia. Tak semestinya dia keluar sebab PKR bermasalah, mana tahu ada kepentingan lain,” katanya.

Mohd Nasir berkata, KDN juga diminta mendedahkan hasil siasatan kepada umum supaya rakyat dapat menilai kewajaran tindakan itu, selain memberi peluang kepada pihak terbabit membuktikan dakwaan.

-s/harian21K