Silap langkah, tragedi Natrah akan berulang

Tuesday, March 30, 2010



Tragedi Natrah atau Rusuhan Maria Hertogh yang berlaku di Singapura pada 12 Disember 1950 mungkin akan berulang di Sabah jika tidak ditangani dengan baik oleh Mahkamah Kanak-Kanak Lahad Datu sekiranya Fansyarina Abdullah @ Nana diserahkan kepada keluarga neneknya yang beragama Kristian.


Dalam Tragedi Natrah, mahkamah membuat keputusan bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya; sedangkan ketika itu Natrah yang sudah diIslamkan; telah dihantar pulang ke Belanda dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan.

Walaupun Natrah telah meninggal dunia di Huijbergen, Belanda pada 9 Julai 2009 ketika berusia 72 tahun, namun Tragedi Natrah telah mengorban seramai 18 orang dan mencederakan 173 orang ketika bertempur dengan tentera dan polis British pada 1950.

Kini kes yang seakan serupa berlaku di Sabah apabila berlaku perebutan hak penjagaan terhadap seorang kanak-kanak, Fansyarina Abdullah @ Nana, 7, yang mangsa dera nenek kandungnya, Saniah Binti Basial di Felda Anjung Teduh Lahad Datu.

Fansyarina adalah anak keempat Ridah @ Nurul Fahana Binti Majusim, seorang wanita beragama Islam yang menetap di Kampung Tokurik Ranau dengan pasangannya, Podih @ Podih Tan Bin Dusun yang beragama Kristian (Roman Katholik).

Ridah telah bersekedudukan dengan Podih selama lebih enam tahun dan memperoleh lima orang anak, satu daripadanya meninggal dunia sebaik lahir; namun kesemua anaknya telah diserahkan kepada kaum kerabat dan keluarga angkat kerana Ridah tidak mampu memelihara anak-anaknya disebabkan Podih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai seorang isteri sah yang beragama Kristian.

Setelah berpisah dengan Podih, Ridah mengikuti ibunya, Saniah Basial ke Felda Anjung Teduh Lahad Datu membawa bersama Fansyarina yang ketika itu berusia satu tahun dan dipelihara oleh ibunya yang turut mengalami masalah rumahtangga setelah bercerai dengan suaminya, Majusim Bin Lizun.

Di Lahad Datu, Ridah telah bertemu jodoh dengan seorang lelaki tempatan berketurunan Suluk dan terpaksa ‘membuang’ anak-anaknya untuk menjaga agar tembelangnya tidak pecah kerana suaminya mengetahui Ridah adalah janda, tetapi bukan janda beranak lima!

Akibatnya, Fansyarina yang agak nakal dan aktif telah menderita dianiaya nenek kandungnya sendiri sehingga terpaksa menjadi ‘Hamba Abdi’ di dalam ‘Neraka’ ciptaan neneknya kerana ketika ditemui polis, Fansyarina dalam keadaan kaki dan tangan terikat dan dikurung dalam tandas serta mengalami luka baru dan parut lama akibat lama didera nenek dan keluarga ‘angkat’nya.

Kini Fansyarina dipercayai telah berada dalam jagaan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am di suatu tempat selamat yang diwartakan sementara menunggu perintah mahkamah selanjutnya; terutama berhubung tuntutan hak penjagaan daripada keluarga terdekat ibunya yang beragama Islam dan Kristian.

Salah seorang ibu saudaranya, Willney Binti Luis, 29, yang bergegas ke Lahad Datu sebaik sahaja mengetahui kes penderaan tersebut, bertekad untuk mengambil Fansyarina atas alasan telah memelihara abang Fansyarina bernama Firdaus kerana dia hanya mempunyai seorang anak; apatah lagi hanya dia yang beragama Islam berbanding saudara mara lain yang masih beragama Kristian.

“Oleh kerana Nana (Fansyarina) beragama Islam, maka saya rasa amat wajar untuk menuntut dia kerana dia pernah berada dalam jagaan kami di kampung Sagindai Baru, Ranau. Abangnya (Firdaus) yang tinggal bersama kami turut mendesak saya mengambil adiknya,” ujar Willney yang mengakui mendapat tahu kes penderaan melalui akhbar dan portal Sabahkini.net.

Bukti Fansyarina dalam jagaan selamat Willney sebelum diambil neneknya. Kanak-kanak lelaki di sebelahnya dipercayai Firdaus, abang Nana bergambar bersama adik Willney.


Willney turut menunjukkan gambar Fansyarina yang mesra dan dalam keadaan sihat walafiat sewaktu dalam jagaannya; sekalipun tidak menyangka Saniah akan menyiksa cucu sendiri.

Walaupun Saniah adalah ibu mertuanya, namun Willney ingin menebus dosa ibu mertuanya itu dengan memberi penjagaan sempurna kepada Nana jika dibenarkan Mahkamah atau Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

“Nana beragama Islam dan saya fikir lebih selamat bersama saya kerana dia biasa dengan saya berbanding nenek saudara dan ibu saudaranya yang lain,” ujar Willney yang bernikah dengan anak Saniah, Junior Majusim dan kini menetap di kampung Sagindai Baru, Ranau, Sabah.

Bagaimanapun hasrat Willney mungkin ditentang keras oleh nenek saudara Nana, Julia Basial yang begitu bersemangat mahu mengambil Nana kerana berpendapat menyerahkan Nana kepada Willney tidak akan menyelesaikan masalah kerana bimbang kejadian yang menimpa Nana akan berulang.

“Sama juga itu kalau kasi balik sama Willney. Dia itu menantu kakak saya, Saniah. Saya takut Nana akan tersiksa lagi. Walaupun dia menjaga Firdaus dengan baik, tapi belum tentu dia dapat menjaga Nana kerana dia pun ada anak juga,” tegas Julia yang menentang keras hasrat Willney kerana bimbang tujuan pengambilan Nana hanya untuk menutup kes penderaan yang dilakukan ibu mertuanya.

Kata Julia, beliau tetap kesal dengan tindakan kakaknya menyiksa Nana dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan kerana beliau hanya menumpukan usaha untuk mendapatkan hak penjagaan bagi Nana.

“Dia waris kami. Walaupun dia tidak berkahwin secara sah dengan Podih, tetapi Nana tetap darah daging kami dan sudah pastinya dia akan kembali kepada agama asal bapanya,” ujar Julia yang mengakui mereka adalah penganut Kristian yang taat kepada agama mereka.

Sekalipun Podih kini berada di Pusat Pemulihan Dadah, namun Julia yakin anak saudaranya itu akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan setelah keluar daripada Pusat Pemulihan kerana selain Nana dan tiga beradiknya, Podih mempunyai seorang anak lagi.

Kata Julia, sejajar dengan kebebasan beragama, beliau merayu agar Nana kembali kepada agama asal keluarganya kerana masih berada di bawah umur, apatah lagi ibu kandungnya, Ridah telah menyerahkan Nana kepada mereka sebelum ‘dipinjam’ Saniah yang kesunyian setelah bercerai dengan suaminya.

“Saya tidak sekali-kali menyangka kakak saya akan menyiksa cucunya sendiri. Saya sangka Nana selamat dalam pemeliharaannya sehinggalah kami terbaca akhbar dan dihubungi pemimpin kami berhubung insiden tersebut,” ujar Julia yang akan memfailkan permohonan di Mahkamah Anak Negeri Ranau untuk mendapatkan hak penjagaan yang sah bagi memastikan masa hadapan Nana cerah.

Namun Julia mungkin menghadapi halangan daripada Mahkamah Syariah kerana sudah pastinya Willney akan mempertahankan Nana yang beragama Islam kerana Ridah juga telah menyerahkan Nana kepadanya sebelum diambil kembali Saniah setahun lalu.

Oleh kerana semangat toleransi dan kebebasan beragama diamalkan di Sabah tidak sefanatik penganut agama Islam di Semenanjung Malaysia, maka Julia dan Willney berharap mereka akan dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan sebaik mungkin untuk memastikan Tragedi Natrah tidak berulang di Sabah.

-ref:suriatimahmud/sab/kini28