Hentam Dr Mahathir: Itu pendirian saya sendiri

Wednesday, December 16, 2009


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menafikan dakwaan kononnya pertelagahannya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai modul kursus Biro Tata Negara (BTN) termasuk menghentamnya sebagai perkauman dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ada cerita kononya apakah saya ini disuruh oleh pihak atasan, dan ada tohmahan dan tuduhan bahawa yang saya lakukan itu kerana Perdana Menteri suruh. Itu semua saya nafikan.


"Saya menafikan di sini bahawa itu tidak benar. Apa yang saya buat adalah berdasarkan pendirian saya sendiri," katanya kepada wartawan selepas satu majlis di Kuala Kangsar Sabtu.

Nazri juga memberitahu beliau turut bersetuju dan berjanji tidak akan membangkitkan lagi perkara itu serta meneruskan apa-apa juga 'serangan' terhadap Dr Mahathir ketika pertemuannya dengan Najib pada Khamis lepas, sebelum mesyuarat kabinet berlangsung.

"Apa yang saya lakukan itu, jika yang akan terluka biarlah saya sendiri tetapi jika mungkin terluka itu Perdana Menteri, saya tidak sanggup untuk meneruskan perkara ini," katanya.

Baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata kabinet bersetuju merombak kurikulum BTN supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

Bagaimanapun kenyataan beliau berbeza dengan yang disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang menjelaskan bahawa modul BTN tidak perlu dirombak sebaliknya akan ditambah baik agar sesuai dengan situasi semasa.

Dr Mahathir dalam komennya mengenai isu itu pula mahu kerajaan tidak terperangkap dengan permainan politik pembangkang sehingga terpaksa merombak kurikulum BTN yang telah sekian lama dipraktikkan secara berkesan di negara ini.

Beliau mempertahankan modul BTN yang sudah lama diguna pakai kerana ia berkesan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.-a/daily12/12/2009