KASIHAN kita melihat Senator Datuk Armani Mahiruddin terpaksa mengambil alih tugas ulama upahan UMNO dengan menyelar tindakan Tok Guru Nik Aziz berhubung isu 'doa' sebagai tidak menggambarkan akhlak seorang pemimpin Islam.
Sepatutnya UTK (Ulama Terompah Kayu) dan USB (Ulama Syaitan Bisu) UMNO lah yang sewajarnya melontarkan reaksi mereka keatas isu 'doa' oleh MB Kelantan ini, bukannya Senator Datuk Armani yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara!
Ayuhlah! Mintalah stesyen TV UMNO supaya siarkan secara langsung perbahasan mengenai isu doa ini dan biarkan rakyat menilai pihak mana yang benar dan pihak mana yang sebalik nya.
Jemputlah Mufti UMNO Dr. Harussani Zakaria dan ulama-ulama upahan UMNO yang lain untuk berdepan dengan Nik Aziz. Ini barulah penampilan anak jantan!
Wheek!, perangai ulama UMNO lagi bejat apabila hanya mendiamkan diri di atas gejala maksiat yang semakin berleluasa yang melibatkan remaja Islam kita. Tidak mungkin Datuk Armani buta hati mengenai kes buang bayi yang semakin menjadi-jadi yang melibatkan gadis-gadis Islam belasan tahun. Bawalah pemimpin UMNO untuk lihat sendiri gadis keturunan mana yang lebih ramai bekerja di kelab-kelab malam dan pusat karaoke yang dijadikan komoditi bagi memuaskan nafsu syaitan di kalangan mereka yang mempunyai wang.
Nik Aziz hanya baru mahu berdoa, tetapi berapa ramai yang sudah dan sedang dianiaya oleh UMNO dengan dikenakan tahanan tanpa bicara di bawah ISA? Apakah itu bukan suatu kezaliman dan dosa yang telah dilakukan oleh pemimpin UMNO ke atas mereka yang tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka di mana-mana mahkamah?
Saya suka menasihatkan Datuk Armani supaya menjadi seorang pemimpin yang berintegriti dan punya prinsip untuk mengatakan yang benar itu sebagai benar dan yang salah itu sebagai salah.
Jangan ulangi akhlak buruk para pemimpin UMNO Sabah yang pada suatu ketika bila mana Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi TPM malah pernah memangku jawatan PM, semuanya 'jenis angkat kaki', puji sana, puji sini, ampu sana, ampu sini, tetapi apabila Anwar sudah hilang kuasa, pemimpin UMNO Sabah yang pernah memuji beliau kini semuanya tidak lagi melihat akan kebaikan yang ada pada diri Anwar Ibrahim.
Anwar dicaci, difitnah, dihina dan pelbagai lagi tuduhan yang amat mengaibkan diri dan keluarga beliau. Akhlak pemimpin UMNO yang sebegini memang tidak layak digelar pemimpin tetapi lebih layak dipanggil pengampu yang tidak punyai harga diri dan maruah!
Oleh: HAMZAH ABDULLAH