Tiada maaf pada pengkianat dalam Parti Cinta - Anwar

Thursday, December 24, 2009

“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam Jawatankuasa Penaja Parti Cinta Sabah (PCS), tiada kemaafan bagi golongan ini dan mereka juga tidak dapat diterima kembali sebagai ahli PKR selama-lamanya, termasuk mereka yang membuat kenyataan akhbar mengutuk PKR dan kepimpinan atau yang bersekongkol dengannya,” kata Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur malam kelmarin.

 

Kenyataan tegas Ketua Umum ini dapat memberikan gambaran bahawa PKR bukan suatu parti untuk ‘desperado’. Golongan yang opportunis ini hanya merugikan parti. Mereka sangka, mereka akan senang-senang diterima kembali ke dalam parti setelah terlalu banyak onar yang telah mereka lakukan dengan tujuan untuk mencalarkan imej parti.

Kita telah mendapat maklumat secara rahsia dari seorang yang terlibat bersama yang tidak mahu namanya disebut di sini bahawa banyak 'orang penting' PKR yang menjadi Jawatankuasa Penaja Parti Cinta Sabah. Kanul Gindul (Bekas Setiausaha Agung Parti Pasok yang sudah dibatalkan kerana tidak pernah ada mesyuarat agung itu) beliau sebagai Ketua Penerangan Proteam Parti Cinta Sabah dan beliau bukan ahli PKR. Nama lain masih dirahsiakan lagi oleh PKR tunggu masa untuk didedahkan.

Kehadiran lebih 2,000 orang ahli PKR, sudah cukup membayangkan bahawa kumpulan berhaluan kiri tersebut tidak mendapat sokongan ahli akar umbi PKR untuk memboikotnya. Begitu juga makan malam di Ocean Restaurant Kota Kinabalu baru-baru ini, beribu ribu orang hadir. Ini juga menunjukkan rintihan beberapa orang Ketua Ketua Cabang tidak mendapat restu oleh ahli akar umbi PKR Sabah.

Kesimpulannya, "carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga". Perpecahan yang diharapkan oleh UMNO/BN Sabah sebaliknya perpaduan pula yang wujud pada akhirnya semua pihak bersalaman-salaman seperti bidalan Melayu 'biduk lalu, kiambang bertaut '.

Semangat setiakawan beginilah dalam PKR Malaysia yang diharapkan oleh Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim, kerjasama, bersatupadu, kepentingan diri sendiri harus diletak ke tepi dan kepentingan parti didahulukan.

Manakala Ketua Penerangan Malaysia Tian Chua turut berceramah di Ocean Restaurant, "PKR berjuang bukan untuk Cina, India, KDM dan Iban, ini satu perjuangan yang sia-sia. Kita tidak dapat mencapai kemenangan dan parti kita dianggap perkauman. PKR bukan juga berjuang untuk Melayu, Cina dan India. Ia tidak dapat mencapai kemenangan, ia juga dikira perkauman."

"Kenapa tidak kita bersatu tekad berjuang untuk orang Melayu, Cina, India, KDM, Iban dan Dayak serta suku yang lain? Ini namanya perjuangan untuk kemenangan semua bangsa dalam Malaysia adalah menjadi matlamat dan halatuju PKR Malaysia. Perjuangan sebegini kita mesti teruskan," jelas Tian Chua.

"Mari kita bersama berjuang untuk menghapuskan rasuah, fitnah dan kezaliman UMNO/BN berasaskan hala tuju PKR untuk mewakili semua suku bangsa dalam sebuah negara Malaysia, maka barulah perjuangan kita benar-benar untuk semua bangsa, bukan perkauman dalam PKR," tegas Tian Chua.

Tambah Tian Chua lagi, "Setelah melalui seharian dengan konvensyen dan diakhiri dengan jamuan makan malam PKR, kita ahli-ahli PKR yang setia bersama parti, lebih bersemangat untuk berjuang dalam menegakkan keadilan. Suntikan semangat ini di perhebatkan lagi dengan kata-kata dorongan pemimpin-pemimpin utama parti. Kita berharap selepas dari ini, segala persengketaan dibasmi dan dibuang jauh-jauh ke Laut Cina Selatan. Supaya kekuatan PKR akan menjadi suatu igauan ngeri buat UMNO/BN," jelas Ketua Penerangan itu mengakhiri.

-halikzaman