Pemimpin kita? "dua untuk aku satu untuk engkau"

Saturday, December 26, 2009



ZAMAN Tun Mahathir rakyat telah digembar-gemburkan dengan 'wawasan 2020'. Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dijenamakan sebagai 'Islam Hadhari'. Era Mohd Najib Tun Razak hari ini mengiklankan pula cogankata '1Malaysia'. Anwar Ibrahim dengan 'Masyarakat Madani', bak kata generasi kini, lain pemimpin lain cogankatanya.

  

Wawasan 2020 sudah luput daripada ingatan rakyat seperti luputnya kuasa Tun Dr. Mahathir di bumi Malaysia. Wawasan 2020 Mahathir cuma memberi satu harapan kosong kepada rakyat Malaysia menanti janjinya bahawa pada tahun 2020 semua rakyat punya rumah sendiri, punya pekerjaan, punya kereta proton saga sendiri, punya niaga sendiri; pendek kata tiada rakyat Malaysia yang miskin lagi.

Hanya yang nyata barisan pemimpin UMNO/BN yang kaya-raya dan yang tidak pernah mengenal erti sebenar kemiskinan. Kerana kuasa yang ada di tangan mereka membolehkan mereka menggali seberapa banyak harta, waima dari segala bentuk sumber hatta dari wang rakyat Malaysia.

Selagi akaun-akaun mereka tidak penuh, selagi itulah mereka akan bekerja keras bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk kepentingan diri dan keluarga mereka. Itulah pengertian definisi WAWASAN 2020 bagi pemimpin UMNO/BN di bawah jajahan Dr Mahathir, pemimpin yang kita dengar, orang kata diktator itu pada zamannya.

Islam Hadhari, kononnya Abdullah Ahmad Badawi mahu jadi 'hero orang Islam' mahu merubah Islam sebagai Islam yang berkemajuan, Islam yang canggih, Islam yang moden; seolah-olah Islam itu diturunkan oleh Allah swt dalam Al-Quran sebagai tidak berkemajuan, tidak canggih dan tidak moden di zaman Rasullullah saw.  

Abdullah Ahmad Badawilah yang meng’hadhari’kannya. Apabila Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak berkuasa lagi, maka Islam itu kembali mundur kerana Najib tidak menghadharikannya lagi.

Tapi jika dilihat dari aspek lain, Islam Hadhari apa yang cuba Abdullah Ahmad Badawi cuba ketengahkan? Pemimpin bagaimanakah yang tidak tegar menegur jika kekhilafan berlaku di depan mata? Sebagai seorang pemimpin yang bermotifkan kepimpinan Islam Hadhari, adalah menjadi suatu tanggungjawab baginya memperbetulkan kesilapan, bukan hanya memandang guna mata sahaja.

Kelembikan dan ketidak-tegaran menegur dan membimbing akhirnya memakan dirinya sendiri apabila terdapat pemberontakan dalaman di kalangan menteri kabinetnya yang berani mencabar beliau supaya meletakkan jawatan secara terang-terangan. Di manakah maruahnya sebagai seorang Ketua Pemimpin? Nampak sangat beliau tidak ada harga dikalangan rakyat dan menteri-menterinya sendiri?

1Malaysia apa ini? Cogankatakah atau satu projek untuk rakyatkah? Semua orang tidak tahu. Cuma rakyat diberi tahu bahawa ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Timbul persoalan, apa benda yang rakyat sudah dahulukan? Apa sudah pencapaian yang diutamakan? Semua kabur tidak jelas. Yang jelas suruh rakyat bersatupadu menyokong UMNO/Barisan Nasional untuk menguatkan pengaruh Najib sambil menggamit sokongan rapuh dari ‘Big Mami’nya.

Setelah Najib wujudkan 1Malaysia, seolah-olah menggambarkan sebelum Najib jadi Perdana Menteri negara kita ini, ada 13 Malaysia iaitu Semenanjung Malaysia meliputi 11 Negeri dalam Semenanjung. Jadi, Najiblah sebenarnya sebagai hero Malaysia kerana berjaya menjadikan 1Malaysia daripada dahulunya 13 Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Di mana kesahihan cogankata, ‘rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan'? Apakah sumbangan yang mereka berikan kepada rakyat? Tariff elektrik, minyak, barangan asas keperluan rakyat kosnya meningkat naik. Rakyat pedalaman dan luar bandar semakin kesempitan hidup. Apa yang telah BN 'dahulu'kan kepada rakyat?

Yang nyata, jika ada pilihanraya kecil, barulah rakyat di'hulurkan' dengan tujuan supaya undi rakyat kampung di'hadiahkan' kepada calon UMNO/BN. Seperti dalam dialog wayang Tan Sri P.Ramlee, dalam filem Nujum Pak Belalang “dua untuk aku, satu untuk engkau". Begitulah hakikatnya. UMNO/BN hulur, rakyat harus 'bayar' balik dengan memangkah undi BN sebagai calon mereka.

Timbul persoalan, apakah sebelum Najib jadi Perdana Menteri, halatuju Barisan Nasional dulu bukan rakyat didahulukan? Tidak ada pencapaian diutamakan semasa BN memerintah dulu? Kalau itulah maknanya 1Malaysia seolah-olah selama ini BN telah bermain politik songsang kepada rakyat Malaysia? Jadinya ‘Tipah Tertipu Lagi?’ setelah beberapa kali ditipu.

Memang pada dasarnya, rakyat Malaysia telah lama ditipu dan diperdayakan oleh kepimpinan UMNO/BN. Cuma masih ada rakyat yang 'kabur' dan suka diperdayakan oleh UMNO/BN. Dihulurkan RM100-RM200, mereka segera lupa akan kesengsaraan mereka. Mereka lupa huluran RM100-RM200 cuma mampu bertahan sehari dua sahaja ekoran kos kehidupan rakyat meningkat hari demi hari tanpa mereka sedari. Golongan inilah yang harus kita buka minda dan mata mereka untuk melihat kebenaran yang terselindung di sebalik lakonan-lakonan pemimpin UMNO/BN.


-halikzaman