Hospital Universiti ingkar perintah mahkamah, belum siasat jenazah remaja

Thursday, May 26, 2011


Tindakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)melengah melengahkan proses bedah siasat kedua menyebabkan jenazah remaja yang ditembak polis, Mohamad Johari Abu Bakar masih disimpan di hospital tersebut.

Menurut kata sepupu mangsa, Yusof Kadarshah, 25, jenazah Johari masih belum dibedah siasat sehingga kini, meskipun Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengeluarkan perintah mengenai perkara itu, semalam.

Yusof ketika dihubungi berkata, ia adalah disebabkan pelbagai karenah birokrasi hospital berkenaan yang mesti dipatuhi keluarganya.

“Kami sekeluarga menunggu daripada pagi dan sampai sekarang jenazah masih belum dapat dibedah siasat.

“Saya kecewa dengan pengurusan hospital tersebut yang tidak memberitahu kepada keluarga mengenai prosedur bedah siasat. Dari awal pagi kami tunggu, tapi baru petang tadi seorang pegawai hospital memberitahu bahawa keluarga perlu mengisi borang untuk memanggil polis sebagai saksi kepada bedah siasat tersebut,” katanya.

Katanya, selepas satu persatu permintaan yang mesti diikuti, pihak hospital sekali lagi menyatakan bahawa urusan bedah siasat perlu melalui satu perbincangan dengan peguam hospital dan peguam mewakili keluarga, Latheefa Koya.

“Baru tadi peguam mewakili keluarga diwakili Latheefa sedang berbincang dengan peguam hospital. Saya sedih apabila jenazah sepupu saya tidak dapat diuruskan secepat mungkin.

“Sebagai orang Islam kita digalakkan mempercepatkan proses pengebumian kerana akan menyebabkan jenazah terseksa. Sepatutnya pihak hospital mesti uruskan mungkin kerana surat perintah juga menuntut perkara sama,” ujarnya.

Semalam dilaporkan jenazah Mohamad Johari Abu Bakar, dibiarkan selama empat jam sehingga mengeluarkan bau sebelum diterima masuk ke bilik mayat PPUM.

Mayatnya disimpan di Hospital Serdang sebelum mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari yang sama untuk dijalankan bedah siasat kedua pula di PPUM.

Mohamad Johari Abu Bakar dilaporkan ditembak polis pada 15 Mei lalu di Dengkil, Selangor ketika berusia 19 tahun.

Polis mendakwa remaja berkenaan sedang bersembunyi di sebuah hotel bajet di Dengkil setelah mencuri Toyota Alphard di Kelana Jaya pada 7 Mei.

Keluarga mangsa bagaimanapun curiga dengan punca kematian anak mereka dan mendakwa tubuhnya penuh dengan kesan lebam serta lengannya patah.- beritakeadilan