Jangan sampai saya kirim air kencing pada PM

Monday, August 15, 2011


“JANGAN sampai kami kirim kencing kepada Perdana Menteri gara-gara Shafie Apdal,” kata Setiausaha JKKK Kg. Cenderawasih, Kunak, Ahmad Bin Andi Mangga

yang telah menunjukkan aksi agak berani memasukkan kencingnya ke dalam botol minuman yang mempunyai gambar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ahmad menyatakan beliau terpaksa bertindak ‘kurang ajar’ untuk mengajar Shafie yang terlalu cuai dan kurang peka dengan aspirasi penduduk luar bandar terutama yang mengalami gangguan bekalan air ini disebabkan pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang dilaksanakan tanpa pemantauan KKLW.

“Selama ini kita tidak pernah mengalami gangguan air, tetapi projek demi projek yang dilaksanakan KKLW telah dibuat tanpa sebarang notis sehingga mengganggu bekalan air di kampung kami. Kadang-kadang satu bulan tiada air. Terpaksa beli daripada lori,” kata Ahmad yang berang kerana aduannya terhadap Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang dan Jabatan Air tidak diendahkan langsung.


Menurut Ahmad, bekalan air di Kunak cukup untuk tempoh tiga puluh tahun daripada sekarang, malah terpaksa dibuang setiap hari bagi membolehkan kontraktor (Lahad Datu water Supply) memenuhi kuota bekalan air bersih untuk setiap hari.

“Kalau mau buat projek, buatlah. Maklumkan kepada JKKK atau penduduk. Sekarang zaman modern. Semua maklumat di hujung jari. Tetapi kenapa buat senyap-senyap dan pasang paip tanpa papantanda sehingga kerja-kerja berkenaan mengganggu bekalan air ke kampung kami,” kaya Ahmad yang menuding jari kepada Shafie kerana terlalu ghairah meluluskan projek tanpa mengkaji kesesuaiannya.

Tegas Ahmad, hanya Sub-kontraktor yang menjalankan kerja memasang paip baru untuk projek BALB Tingkayu, namun kerja mereka tidak diselia oleh Jurutera Jabatan Air atau Juruperunding yang dilantik.

“Tetapi jangan jadikan kami mangsa projek. Mereka mau kayakah, mau telan itu wang projek, telanlah, tetapi kenapa bekalan air kami diputuskan? Bil kami bayar. Meter kami ada, tapi keluar angin saja. Mau bilang tangki simpanan Jabatan Air tiada air, penuh pula; sampai dibuang ke parit. Apa semuanya ini?,” tanya Ahmad yang kesal kerana KKLW melantik kontraktor yang tidak berkelayakan menjalankan kerja penting berkenaan.

Oleh itu kata Ahmad, sebelum mereka bertindak memboikot pilihanraya umum akan datang atau memberikan undi mereka kepada pembangkang, Shafie wajib turun padang untuk melihat masalah penduduk kampung yang sengsara akibat pelaksanaan NKRA menyusahkan rakyat dan mengkayakan kroni Shafie. - sabahkini