Fakta yang membawa Datuk Kalakau Sokong Pakatan Rakyat

Thursday, February 18, 2010


Bekas Timbalan Menteri pada tahun 1986 dan pernah menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) selama 12 tahun, Datuk Kalakau Unto hari ini mengishtiharkan keluar parti seterusnya menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Beliau turut mengumumkan pelepasan jawatannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dalam satu sidang akhbar di Tamparuli, Sabah hari ini.


Antara jawatan beliau sehingga semalam ialah ialah Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn. Bhd., sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB), serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dan ke semuanya dilepaskan beliau seterusnya menyokong perjuangan dan dasar-dasar PR.


"Dalam apa jua perkara, yang pasti kekal berterusan berlaku ialah suatu perubahan dan perubahan itu akan terjelma dalam pelbagai bentuk; termasuklah pemikiran dan pentafsiran.

Begitulah juga mengenai kaedah untuk membuat sebarang keputusan," katanya dalam blog yang 'tagline'nya D Patriot Agenda, Kalakau Untol.

Sehubungan itu, beliau juga akan menjelajah ke seluruh Sabah bersama PR selepas ini bagi menjelaskan perjuangannya ke arah merakyatkan dasar-dasar PR seperti yang terkandung dalam Konvensyen Pertama PR di Shah Alam 19 Disember lalu.

Dasar-dasar itu ialah memastikan Khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20 peratus daripada pendapatan Petroleum mereka.

Selain itu, PR turut mencadangkan agar Suruhanjaya Diraja diwujudkan demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu Pendatang Asing di negeri itu.

Turut menjadi dasar PR ialah menjamin Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli di Sabah dan Sarawak selain mengehentikan serta-merta penindasan terhadap rakyat khasnya di kawasan Pedalamanakibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

Penjelasan dasar-dasar itu juga katanya, akan diterus diperjelaskannya sehinggalah pilihanraya umum ke 13 berlangsung nanti.

Presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) itu dan pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Dis 2005 bagaimanapun enggan mengulas berhubung parti yang akan disertainya.

Oleh Masdar Wahid