Melayu, Islam terbela di Pulau Pinang, BN fitnah jahat! - Idris Ahmad

Sunday, February 7, 2010


"Barisan Nasional (BN) kalah di Pulau Pinang lalu tabur fitnah bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu mentadbir negeri ini dengan baik," kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad sekali gus menolak fitnah bahawa Melayu dan orang Islam di negeri ini tidak dibela PR.

Menurut perangkaan pada 2007, kata Idris, Belanjawan 2008 tajaan BN mengalami defisit RM35 juta, tapi apabila PR memerintah, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Klik tajuk untuk selanjutnya.

  

"Bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta, tetapi pemerintahan PR sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta," kata beliau dalam suatu kenyataannya baru-baru ini.

Sementara itu, tambahnya, pada 2008 peruntukan untuk hal ehwal Islam tajaan BN dalam belanjawan tahun sebelumnya hanya bernilai RM12.5 juta, sedangkan, dalam pembentangan belanjawan 2008 tajaan PR, jumlah itu bertambah kepada RM20.5 juta untuk peruntukan tahun lalu.

"Pada pembentangan belanjawan tahun lalu peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk tahun ini. Ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini.

"Kerajaan PR juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberi peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat," kata beliau.

Kontraktor Melayu tidak diabaikan, 

Menyentuh isu kontraktor Melayu, Idris berkata, dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno, sebelum ini adalah tidak benar.

"Pada 2008, 78 kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu telah menerima projek melalui sebut harga. Seorang kontraktor Melayu dan seorang kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

"Tahun lalu, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima, berkurangan kepada 19 syarikat sahaja," kata beliau.

Pada tahun yang sama, tambah Idris, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

"Peningkatan ketara ini membuktikan kerajaan PR masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain. Pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

"Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam Pilihanraya lalu. Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri," tambah beliau lagi.

-Era Pakatan