maaf saya tiada masa layan tuntutan Zahid

Tuesday, February 9, 2010


Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyifatkan tuntutan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar sebuah suruhanjaya ditubuhkan Pakatan Rakyat (PR) bagi mengkaji kepincangan kerajaan pakatan itu, hanya kenyataan politik semata-mata.

 

Menurutnya, beliau tidak berminat untuk melayan sandiwara politik UMNO dan menjelaskan isu perobohan gerai peniaga kecil yang dibangkitkan oleh kebanyakan akhbar adalah lebih teruk sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Saya tiada masa hendak melayan tuntutan beliau (Zahid) dan saya fikir beliau hanya sekadar pandai mengeluarkan kenyataan politik semata-mata.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa jumlah perobohan gerai peniaga Melayu sewaktu zaman pemerintahan BN dahulu dari tahun 2006 hingga 2007 adalah sekali ganda lebih banyak daripada jumlah perobohan gerai dilakukan PR dari tahun 2008 hingga 2010. Justeru, dari aspek mana Zahid kata PR pincang dan tidak memenuhi keperluan rakyat?” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri juga bercakap berdasarkan fakta dan meminta UMNO Pulau Pinang jangan bercakap ‘hentam keromo’ serta membuat tuduhan tidak berasas.

“Selama ini, apa jua tindakan dan kenyataan Kerajaan Negeri adalah berdasarkan fakta dan data yang sahih. Justeru, saya minta UMNO Pulau Pinang agar menghentikan kecaman dan fitnah terhadap PR dengan tuduhan tidak berasas semata-mata,” katanya.

Guan Eng turut menegaskan Kerajaan Negeri sedang merangka usaha untuk menyampaikan informasi dan maklumat yang sahih secara terus kepada rakyat negeri ini memandangkan Kerajaan Negeri kini menjadi mangsa penipuan dan fitnah daripada segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Pemasangan kain rentang di beberapa kawasan di negeri ini oleh Kerajaan Negeri adalah antara langkah-langkah dipraktikkan Kerajaan Negeri untuk menyampaikan informasi yang benar kepada rakyat.

“Bagaimanapun, kami sedang merangka langkah terbaik demi memastikan objektif perjuangan dan pentadbiran Kerajaan Negeri tidak diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

-s/harian82