Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tidak perlu hadir apatah lagi dipelawa hadir pada majlis pembentangan senarai pemaju bagi pembangunan semula Rumah Pangsa Empat Tingkat PKNS Kampung Kerinchi.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar merangkap Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, majlis pembentangan tersebut hanya melibatkan penduduk dan pihak kementerian.
Menurutnya, tidak timbul isu Ahli Parlimen itu perlu dipelawa atas kapasiti wakil rakyat kerana ia adalah sesi taklimat bersama penduduk.
“Kita tidak perlu pelawa kerana penduduk sendiri kena hadir. Kenapa perlu wakil rakyat yang hadir. Sekiranya selepas itu ada penduduk hendak berbincang dengan wakil rakyat, mereka boleh bincang “80 peratus penduduk bersetuju untuk berpindah sebelum ini seterusnya bersama UMNO. Jadi, kita kena ikut suara majoriti,” katanya kepada Sinar Harian selepas lawatan kerja ke Klinik 1Malaysia di Kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Perumahan Pantai Permai di sini, semalam.
Raja Nong Chik berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Bertindak Penduduk Rumah Pangsa berkenaan, Hashim Selim yang mahukan majlis pembentangan senarai pemaju disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menghalang Ahli Parlimen itu hadir pada majlis berkenaan yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.
“Sekiranya kumpulan kecil tersebut rasa yakin dengan wakil rakyat dan takut kerajaan Barisan Nasional tidak adil, mereka boleh berbincang selepas itu. “Kita hanya buat cadangan dan selepas itu keputusan muktamad adalah ditentukan penduduk sendiri. Kita buat majlis berkenaan untuk semua golongan penduduk.
“Selama ini pun, sudah banyak pembangunan yang dibuat, tidak perlu pilih kasih dan soal tidak percaya sepatutnya tidak timbul langsung,” katanya.
Ditanya kewajaran tidak mempelawa Ahli Parlimen sesebuah kawasan dalam sesuatu program, Raja Nong Chik sebaliknya mempersoalkan tindakan sama kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.
“Dalam program di Selangor misalnya, adakah Khalid Ibrahim mempelawa wakil rakyat BN dalam majlis yang diadakan di kawasan wakil rakyat BN,” katanya.
Terdahulu dalam sidang media sebelumnya, Raja Nong Chik menjelaskan kementerian ketika ini sedang dalam rangka menyenaraikan pemaju yang berminat membangunkan kawasan berkenaan.
“Masalah di Kampung Kerinchi dengan Kampung Baru tidak sama kerana Kampung Kerinchi melibatkan kawasan yang kecil. “Kita sudah sediakan penempatan dan ada pemaju yang berminat untuk bangunkan kawasan tersebut. Namun dalam undang-undang sekarang, kalau ada golongan kecil tidak bersetuju, ia akan ‘sangkut’ juga,” katanya.
Raja Nong Chik berkata, pihaknya berharap perkara itu tidak dipolitikkan dan keputusan muktamad terletak di tangan penduduk sendiri.
“Kita nampak punca sebelum ini adalah politik. Mereka sudah nampak kerajaan BN mahu majukan dan cuba nak gagalkan. Bila sudah berjaya nanti, mereka akan cakap mereka yang usahakan,” katanya.
-s/har 14