Kes Anwar tidak bantu pulihkan Umno - Ernest Bower, Pengarah CSIS America

Friday, February 5, 2010

Gambar: Ernest Bower. Pengarah CSIS America.

PERBICARAAN kedua kes liwat pemimpin pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak akan membantu Umno mendalami pembaharuan sebenar yang diusulkan presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata pengarah Program Asia Tenggara daripada Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) Amerika, Encik Ernest Bower. Klik tajuk untuk teks seterus nya.

  


'Perbicaraan itu boleh dilihat sebagai sebahagian daripada pendirian tragik terakhir oleh mereka yang takutkan perubahan dan pembaharuan,' kata Encik Bower dalam satu kenyataan CSIS yang dikirimkan melalui e-mel kepada akhbar Berita Harian Singapura, semalam.

'Kumpulan itu kelihatan tidak lagi termasuk Perdana Menteri Najib Tun Razak. Kenyataan dan langkah baru-baru ini untuk memulakan pembaharuan serius berhubung parti memerintah beliau, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), menunjukkan bahawa beliau telah mendalami keperluan parti itu untuk berubah jika ia mahu bertahan secara politik,' kata beliau.

'Perbicaraan Anwar tidak akan membantu dalam hal ini kerana untuk memulakan perubahan, adanya pembangkang berdaya maju merupakan keadaan yang membantu dan diperlukan.

'Najib harus meyakinkan majoriti anggota setia Umno bahawa mereka harus menyesuaikan diri untuk bertahan. Alasan itu tidak mudah bagi satu generasi yang ketagihkan politik yang memperjuangkan hak tertentu,' tambahnya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar mempunyai risiko dan sekali lagi menjadikan beliau 'seorang korban dan pejuang politik' dan 'suar' bagi mereka yang mahukan perubahan dalam sekitaran politik di Malaysia.

Usaha itu, menurutnya, tidak mendatangkan manfaat kepada kemajuan politik di Malaysia kerana 'perbicaraan kedua Anwar adalah satu tanda aras menyedihkan dan ironi dalam sejarah politik Malaysia'.

- cyberitaasia1