Pemerintah dan para pemimpin Melayu/Islam Singapura sedar bahawa masyarakat Melayu telah menunjukkan prestasi yang baik dan berpuas hati dengan kemajuan yang telah dikecapi sekarang.
Namun, Menteri Kanan Singapura Encik Goh Chok Tong, berkata mereka mungkin telah tiba pada satu tahap - kurang berpuas hati dengan pencapaian tersebut dan ingin melakukan yang lebih baik lagi. Untuk teks selanjutnya klik tajuk
'Isu seperti perilaku pelajar Melayu dalam matematik, isu keluarga pincang, bukan khusus kepada masyarakat Melayu tetapi dari segi kadar masyarakat keseluruhannya, mereka lebih tinggi daripada masyarakat lain. Jadi kita harus menanganinya menerusi dua cara,' kata Encik Goh.
Di peringkat nasional, beliau berkata bahawa dasar-dasar nasional haruslah betul dan sumber-sumber juga harus diberikan bagi menangani masalah berkenaan.
Cara kedua ialah masyarakat Melayu mesti terus berusaha bagi mendekati golongan yang bermasalah dan mencari huraiannya.
Dalam hal ini, Encik Goh berkata bahawa para pemimpin Melayu/Islam sendiri adalah lebih berkesan untuk merapati keluarga-keluarga sedemikian berbanding para pemimpin agama lain.
Menyentuh saranan-saranan yang dibentangkan Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC), Encik Goh berkata negara tidak boleh bergantung kepada model pertumbuhan lama yang mengimport lebih ramai pekerja asing atau golongan ekspatriat untuk mengembangkan ekonomi.
Lantas, Singapura harus menetapkan matlamat untuk mencapai pertumbuhan kualitatif dengan meningkatkan produktiviti dari segi barangan dan perkhidmatan agar kurang bergantung kepada tenaga buruh berkemahiran rendah.
Strategi yang sama telah pun dilakukan menerusi dasar gaji negara sekitar 1978 hingga 1980.
'Pada masa itu kita menyasarkan perusahaan tenaga buruh yang intensif untuk mencetuskan pekerjaan. Kita berjaya berbuat demikian tetapi produktiviti menjadi rendah,' tambah beliau.
Namun tidak seperti 1978, kali ini pemerintah ingin mengubah menerusi levi pekerja asing.
'Namun kita harus mempelajari daripada pengalaman 1978 dan mengubah levi tersebut secara beransur-ansur. Jika dilakukan pada tahap yang pantas, syarikat tidak dapat mengatasi kos penghasilan yang lebih tinggi dan jika tidak berhati-hati kita boleh menghadapi kemelesetan kecil atau lebih buruk lagi, yang terbit daripada dasar kita sendiri,' ujar Encik Goh.
Berkenaan hasil lawatan beliau selama enam hari ke Oman dan Bahrain, selaku Menteri Kanan, kata Encik Goh, beliau telah membantu Singapura meluaskan ruang ekonomi dan politiknya demi mengembangkan Hasil Kasar Negara (GNP).
Ini termasuk membuat pelaburan dan perdagangan di luar negara, membeli khidmat luar dan meningkatkan rangkaian hubungan Singapura.
- Oleh
Hisham Hasim
singapura