Saya tak akan tinggalkan PKR

Tuesday, October 19, 2010


Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan berkata, meskipun mengkritik keras Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwanya memanipulasi proses pemilihan parti, itu bukan bermakna beliau tidak sayangkan PKR ataupun sudah membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

“Tidak. Saya belum terfikir lagi mahu tinggalkan parti ini. Saya masih sayangkan PKR,” katanya ketika dihubungi pagi semalam.

Ditanya mengenai kenyataannya pada sidang media di Parlimen Khamis lalu yang beliau dilaporkan berkata, jika tidak ada tindakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk membetulkan keadaan, tidak ada sebab baginya untuk terus bersama parti, Gobalakrishnan berkata, meskipun mengeluarkan kata-kata sedemikian, beliau bukan bermaksud hendak meninggalkan PKR.

“PKR sebuah parti yang bagus. Yang saya tidak puas hati cuma mengenai proses pemilihan. Itu yang saya minta JPP betulkan keadaan,” katanya.

Gobalakrishnan yang akan bertanding jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan bulan depan mengakui selepas melempar kritikan keras terhadap Azmin yang juga calon Timbalan Presiden PKR, Khamis lalu, beliau ditegur oleh pimpinan parti.

Calon Naib Presiden itu bagaimanapun enggan menyatakan teguran itu daripada siapa dan bagaimana ia disampaikan.

“Cukup saya beritahu, saya hanya hanya ditegur,” katanya.

Gobalakrishnan berkata, kenyataannya dengan kata-kata “tidak ada gunanya saya masih berada dalam PKR sekiranya pemilihan yang sepatutnya demokratik boleh dimanipulasi oleh individu tertentu” telah disalah tafsir oleh pihak media seolah-olah beliau mahu meninggalkan PKR.

“Saya tidak kata mahu keluar PKR cuma minta JPP bersikap adil dan telus kepada semua ahli dan pemimpin, jangan ada pilih kasih. Saya kata begitu kerana selama ini, ada pihak yang cuba mengenepikan saya tetapi saya masih setia bersama PKR hingga hari ini,” katanya.

“Sekiranya sikap tidak telus JPP masih berlarutan, saya tidak akan dapat apa-apa dari parti, tambah nya. Kenyataan saya disalah anggap hingga ada yang mendakwa saya akan keluar parti. Itu tidak benar. PKR merupakan parti yang baik dalam memperjuangkan nasib rakyat,”katanya.

Mengenai Azmin yang beliau dakwa pernah menghinanya dengan panggilan ‘pariah’, Gobalakrishnan berkata, beliau serah kepada parti untuk mengambil tindakan.
- s/harian