Wakil Umno turut menghadiri majlis anjuran PAS

Wednesday, October 6, 2010

Biarpun berbeza pandangan dan ideologi dalam dunia politik, ia tidak menghalang pemimpin masyarakat menjalinkan hubungan baik dan saling bertukar fikiran demi kepentingan semua pihak.

Tiada halangan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad dan barisan Pemuda UMNO Kuala Kangsar menghadiri satu majlis keramaian anjuran Pas, di Markas Pas, Bukit Chandan, di sini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, peranan mereka ialah memasyarakatkan Pas kepada semua tanpa mengira latar belakang politik.

Menurutnya, apa yang ditekankan parti berkenaan ialah, Pas bukan sekadar untuk ahli tetapi turut menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak.

“Ini adalah satu langkah kita untuk memasyarakatkan Pas supaya ia boleh diterima oleh semua walaupun berbeza fahaman.

“Dalam satu-satu majlis keramaian seperti ini, ia bukan sahaja diraikan bersama ahli tetapi semua golongan juga dialu-alukan,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Wan Khair-il, berkata, biarpun berbeza ideologi, beliau tetap tidak menolak jemputan Pas untuk bersama dalam majlis berkenaan.

“Kami masih boleh bersama tanpa sebarang masalah dan dapat menjalinkan hubungan baik, saya akan menyertai majlis mereka walaupun hanya sebagai tetamu.

“Ia menunjukkan satu perkembangan baik yang wajar dicontohi dan turut memberi gambaran positif kepada rakyat,” katanya. – 5/10