Dewan Pemuda Pas Negeri memohon Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mewartakan fatwa perbuatan Menteri Besar,...
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah dalam Program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 16 Oktober lalu.
Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, perbuatan berkenaan wajar dibincangkan bersama Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berikutan maklum balas yang dikeluarkan oleh Harussani sebelum ini bercanggah.
“Kami ada menerima jawapan berbeza dan merasakan maklum balas Harussani sebelum ini setelah berjumpa dengan Dr Zambry dilihat bersifat peribadi dan bukan fatwa yang dipersetujui bersama dalam Majlis Fatwa Negeri.
“Adalah menjadi harapan kami dan umat Islam serta menjadi tanggungjawab Harussani agar dapat menjernihkan kekeliruan yang masih samar kerana dibimbangi masih menjadi ikutan yang boleh menjejaskan akidah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat permohonan diwartakan fatwa perbuatan Zambry meletakkan ancak kepada Pegawai Fatwa Negeri Perak, Kamaruddin Adam yang mewakili Harussani di Pejabat Jabatan Mufti Negeri, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya turut menyertakan gambar-gambar dan rakaman berbentuk video kepada semua Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk penilaian dan meneliti aduan yang dibuat.
“Oleh kerana Dr Zambry sebagai ketua negeri ini dan juga memegang amanah jawatan berkaitan Hal Ehwal Agama, sudah tentu perbuatan dan perilakunya akan menjadi contoh dan juga ikutan rakyat di negeri ini.
“Berharap Mufti menilai sendiri dan juga meneliti aduan kami bagi mendapatkan kebenaran dan juga keadilan sepenuhnya. Pihak kami bersedia menunggu apa sahaja keputusan pihak mufti dalam perkara ini,” katanya.- s/harian
Murid buktikan pada guru lembu makan martabak
6 hours ago