Lapuran CNN membuat Najib mengelabah - Anwar

Saturday, January 29, 2011


SATU laporan stesen berita televisyen CNN yang mendedahkan laporan risikan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah meminta kerajaan Arab Saudi menyiasat jika ada sesetengah anggota keluarga dirajanya yang mungkin membantu membiaya ketua pembangkang,..

Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada pilihan raya umum akan datang, mencetuskan tengkarah baru antara dua 'seteru politik' Malaysia itu semalam.

Malah, Datuk Seri Anwar dengan pantas tampil menyanggah laporan CNN itu serta menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib itu sebagai petanda bahawa Barisan Nasional (BN) semakin 'ketakutan' dengan 'kemaraan' yang dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR).

Dalam rancangannya lewat kelmarin, CNN melaporkan bahawa satu laporan risikan Arab Saudi berkata tidak ada bukti yang menunjukkan adanya pegawai Riyadh membiayai Datuk Seri Anwar bagi pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, laporan risikan itu berkata ia ada mengesan sebuah pertubuhan fahaman pelampau Islam, yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang itu, yang telah membawa manfaat kepada rangkaian Al-Qaeda menerusi sokongan para ahli politik negara-negara Islam.

Laporan CNN itu muncul selang tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, esok, dan sedang spekulasi tersebar bahawa Malaysia mungkin mengadakan pilihan raya umumnya yang ke-13 tahun ini.

Ia juga dilihat sebagai dakwaan Datuk Seri Najib paling keras terhadap Datuk Seri Anwar, sejak beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia pada April 2009. Umno pernah melabel Datuk Seri Anwar sebagai 'ejen Yahudi'.

Mengulas isu tersebut, Datuk Seri Anwar, dalam jawapan bertulisnya yang dikirimkan melalui e-mel kepada akhbar ini, berkata ia 'memperlihatkan ketakutan Datuk Seri Najib untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang akan datang'.

Menurut Datuk Seri Anwar, laporan itu antara lain menunjukkan 'rasa tidak puas hatinya' Presiden Umno itu kerana mengesyaki adanya dua putera diraja Arab Saudi yang menyokong dan membiayai ketua pembangkang itu untuk pilihan raya umum akan datang.

'Laporan ini menyerlahkan ketakutan serta rekayasa Datuk Seri Najib untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang setiap hari berusaha membina dukungan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia daripada segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat daripada rasuah yang semakin membarah,' katanya.

'Saya tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda... Kepimpinan Umno-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,' jelas beliau dalam e-melnya itu.

Semasa ditemui sekumpulan wartawan Malaysia dan diminta mengulas hal itu semalam, Datuk Seri Najib enggan memberi komennya berkait isu ini.

'Ini satu siasatan pihak Saudi... Saya enggan mengulas,' jawabnya ringkas.

Antara lain, laporan CNN itu berkata satu siasatan mendapati ratusan juta dolar wang Arab Saudi disalur kepada ahli-ahli politik dan aktivis Islam di luar negara, dan mendapati bahawa kumpulan Al-Qaeda dan Taleban masih berupaya menggunakan pembiayaan Arab Saudi itu walaupun terdapat beberapa usaha menyekat sumber kewangannya.

Dalam ringkasan sembilan muka suratnya itu, CNN juga berkata kumpulan politik Persaudaraan Islam, yang wujud di beberapa negara Islam, mempunyai hubungan dengan beberapa kumpulan pelampau Islam dan didakwa bertanggungjawab dalam mencetuskan rusuhan di Mesir, sedang cuba menerusi beberapa badan kebajikan dan pertubuhan sekutunya menyebarkan pengaruhnya dan menyokong calon-calon dalam negara-negara demokrasi Islam.- Darwis Said/bhs