Mufti Pahang tak senang duduk bila Dr.Asri ke forum Surau Ar Raudhah

Friday, February 26, 2010


 1. Insyaallah pada 27 hb. Feb 2010 [ sabtu ] jam 8.40 malam akan dilangsungkan satu Forum Ad Deen yang bertajuk [ Perlaksanaan Syariah di Malaysia : Cabaran , Halangan dan Kesungguhan ] , bertempat di Musolla Ar Raudhah Perkampungan Pelindung Perdana Beserah Kuantan Pahang . Untuk teks seterus nya sila klik tajuk.

  
2. Sehingga hari ini saya mendapat tekanan dari pelbagai pihak supaya forum tersebut dibatalkan namun alasan kenapa forum itu mesti dibatalkan , saya sendiri tidak jelas . Semata - mata kerana salah seorang panel forum tersebut ialah al Fadhil Dr Asri Zainal Abidin [ bekas Mufti Perlis ] maka ia mesti dibatalkan ! [ Panel yang lain ialah : Dr Azhar Yaacob Pensyarah kanan UTM dan saya sendiri mewakili Musolla Ar Raudhah ]

3. Saya juga sangat kesal apabila dimaklumkan bahawa tekanan tersebut turut datang dari pihak mufti negeri Pahang sendiri . Sedang forum ini adalah majlis ilmu yang dianjurkan oleh Musolla Ar Raudhah dengan kesepakatan seluruh ahli jawatankuasanya . Saat masyarakat dahagakan ilmu dan kejahilan pula sangat berleluasa , kenapa harus majlis forum seperti ini mendapat tekanan , lebih malang tekanan itu datang dari pihak mufti yang sepatutnya merekalah yang menaungi aktiviti - aktiviti agama dalam negeri ini .

4. Forum adalah majlis ilmu yang diformatkan secara terbuka dan berlansung dalam bentuk dua hala dengan kita membawa panel - panel yang berwibawa disamping moderator yang baik iaitu sdr Fadzli Ramli seorang Lawyer muda yang sedang meningkat naik di negeri Pahang hari ini .

5. Saya sendiri tidak faham kenapa Dr Asri Zainal Abidin tidak dibenarkan ? sedang beliau adalah seorang yang berkelayakan dalam bidang agama untuk menyampaikan pandangan dan ilmu beliau . Ijazah kedoktoran yang diberikan oleh pihak university adalah satu pengiktirafan terhadap ilmu beliau sementara belum ada juga satu pun penyata yang digazetkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan atau lainnya yang menyatakan Dr Asri adalah pembawa ajaran sesat yang tidak dibenarkan mengajar atau memberi ilmu di mana - mana tempat di dalam negara ini .

6. Kita bukan berada di dalam negara komunis atau sosialis yang menghalang ilmu Islam dikembangkan . Alangkah baik jika pihak Mufti negeri Pahang mengarahkan seluruh penguatkuasa agama negeri Pahang membuat rondaan dan mengambil tindakan ke atas pelaku - pelaku maksiat dan mungkar yang sangat berleluasa di bandar Kuantan . Sarang pelacuran dan Mak Nyah boleh beroperasi secara terbuka di bandar Kuantan tanpa sebarang tindakan yang berkesan oleh pihak berkuasa agama negeri . Kenapa ini di diamkan ? Kenapa masjid surau yang mahu menganjurkan majlis Ilmu pula mendapat tekanan dari pihak Mufti ? sungguh ini adalah suatu yang sangat mengecewakan . Apakah hari ini kelab - kelab malam dan sarang - sarang Mak Nyah itu lebih selamat berbanding majlis ilmu di pahang ?

7. Ada yang mengemukakan alasan kerana Dr Asri adalah wahabi . Ini satu lagi malapetaka yang menimpa ummat Islam . Terlalu suka dan cepat melabel kemudian terus menolak tanpa asas ilmu dan hujjah yang kuat . Dr Asri sendiri berkali kali menafikan , bahawa beliau bukanlah seorang wahabi dan beliau bersedia untuk berhujjah dan berbincang secara ilmiah bagi menegaskan pendirian beliau dalam isu - isu agama termasuk persoalan aqidah .

8. Persoalannya , apakah kerana isu wahabi maka tindakan mahu diambil dan saya difahamkan bahawa pihak mereka akan bertindak untuk menangkap saya dan Dr Asri pada hari berlangsungnya forum nanti . Kenapa tidak mengambil pendekatan berbincang dan berdialog secara ilmiah ? saya sendiri tidak pernah dipanggil untuk berbincang . Malah forum ad Deen yang kita anjurkan ini adalah majlis dua hala sebagai satu wacana dan dialog mengenai perlaksanaan syariah di Malaysia .

9. Jika saya atau Dr Asri salah dan tidak betul dalam memberi kenyataan dan ilmu , maka pada hari itu , siapa jua boleh tampil untuk memberi hujjah dan kenyataannya . Saya mahu wujudkan suasana ilmu dikalangan masyarakat . Kita tangani sesuatu berasaskan ilmu dan hujjah . Berkali - kali saya tegaskan kepada ahli jamaah di Musollah ar Raudhah bahawa saya mahu jadikan Musolla Ar Raudhah ini sebagai Universiti Islam Terbuka [ UIT ] . Kita mengundang tokoh - tokoh ilmuan Islam untuk memberi ilmu , berwacana , forum dan dialog bagi membuka pemikiran ummat Islam dan sekaligus menegakkan kebenaran dan memerangi kebathilan .

10. Saya menyeru agar semua hadhir dan dengar sendiri penjelasan , kenyataan dan hujjah ahli panel . Jika ada yang tidak betul , saudara diberi peluang untuk berhujjah . malah suka saya sebutkan , jika ada perkara yang tidak benar atau tidak betul , saya sendiri akan bangkit membetulkannya . Tapi biarlah dengan ilmu dan hujjah bukan dengan gari dan cota .

11. Sebelum ini pun , banyak perkara yang saya berbeza pandangan dengan Dr Asri Zainal Abidin . Samaada sebelum mahupun selepas beliau menjadi mufti kerajaan Perlis . Tetapi biarlah perbezaan itu diuruskan dengan ilmu dan hujjah bukan dengan kekerasan . Sebab ini hanya berkait dengan perbedaan aliran pemikiran bukan jenayah .

12. Tindakan menangkap dan mengungut ini adalah satu tindakan yang tidak bertamaddun dan tidak bijak . Malah bertentangan dengan disiplin ilmu Islam yang mengutamakan ilmu dan hujjah .

-by Nasrudin Hassan at Tantawi