Apabila seorang janda berusia 17 tahun, juga balu seorang anggota kumpulan pemisah Islam, terbabit dalam serangan berdarah menentang tentera Russia, anggota keluarganya di Kostek,...
sebuah perkampungan di wilayah Caucasus Utara, serta-merta mendakwa mereka sudah sekian lama menghubungi ahli keluarga nya itu.
Mereka sedar akan berdepan dengan penyeksaan daripada tentera Russia atau lebih buruk lagi dibunuh kerana ada hubungan dengan militan.
Mereka juga tahu janda muda itu, Dzhennet Abdurakhmanova, yang sepatutnya masih menuntut, tidak akan hidup lama.
Yang mereka tidak jangka ialah dia akan dihantar ke Moscow menjadi pengebom nekad, meletupkan dirinya dalam sebuah kereta api bawah tanah.
Dzhennet, yang suaminya dibunuh tentera Russia Disember lalu, dan seorang lagi wanita muda dituduh melakukan serangan bom pada 29 Mac lalu, yang meragut 40 nyawa dan mencederakan lebih 90 orang.
Ia adalah serangan nekad pertama di Moscow sejak 2004.
Kedua-dua wanita itu berasal dari Caucasus Utara, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan pangkalan kebangkitan militan Islam akibat sering menjadi sasaran keganasan, penculikan dan penyeksaan tentera Russia.
Pemimpin pejuang Chechnya, Doku Umarov, mengaku bertanggungjawab terhadap serangan dalam kereta api bawah tanah itu dengan berkata ia tindak balas terhadap kematian empat penduduk kampung yang dibunuh askar Russia ketika mereka mengumpul bawang putih.
Ekoran serangan berkenaan, kesepian melanda Kostek, kampung serba kekurangan yang terletak di Dagestan, tempat Dzhennet membesar.
Pandangan penduduk lelaki yang berkumpul di medan utama kampung terpaku pada setiap pengunjung sebelum berpaling dan berbisik sesama mereka.
Penduduk kampung sudah dapat merasakan bahang bahaya yang bakal menimpa mereka berikutan serangan di Moscow itu. Bukan mereka saja.
Malah, penduduk yang mendiami kira-kira 100 kilometer jauh dari kampung itu juga dapat merasai bahangnya.
Serangan nekad yang dilakukan Dzhennet mengakibatkan tumpuan yang tidak diingini.
'Kami sudah lama menyingkirkannya. Dia bukan lagi anggota keluarga kami sejak dua tahun lalu,' kata sepupu balu muda itu yang enggan memberitahu namanya kerana bimbang menjadi sasaran balas dendam.
'Kami tidak ada kena-mengena dengan Dzhennet dan kami tidak mahu dia menjadi anggota keluarga kami selepas dia berkahwin,' kata pemuda berusia 20 tahun itu sebelum menghilangkan diri dalam rumah nenek mereka, antara yang tercantik di Kostek.
Jumaat lalu, akhbar utama Russia menyiarkan gambar balu belasan tahun yang jelita itu dalam dakapan lelaki berjambang, kedua-duanya memegang pistol.
Laporan akhbar itu mendakwa Dzhennet menemui suaminya, Umalat Magomedov, dalam laman sembang Internet.
Umalat kemudian mengatur janji temu dan mereka berkahwin tidak lama kemudian.
Selepas kematian suaminya, Dzhennet didakwa terpengaruh dengan desakan untuk berkorban bagi membalas dendam terhadap kematian Umalat, anggota keluarga dan penduduk Islam lain.
Akhbar Moskovsky Komsomolets mendakwa polis Russia menemui keratan kertas bertulisan Arab yang antara lain mengandungi kata-kata berbunyi 'pertemuan di syurga'.
Rakannya yang turut terbunuh dipercayai wanita berusia 28 tahun dari Chechnya, Mariam Sharipova, seorang guru sains komputer yang bertanggungjawab dalam letupan di stesen kereta api bawah tanah Lubyanka.
Mariam dikenal pasti oleh ibu bapanya melalui gambar pengebom nekad, yang disiarkan melalui Internet, lapor akhbar Novaya Gazeta.
Bapanya, Encik Rasul Magomedov, yang menetap di Dagestan, berkata:
'Saya dan isteri saya dapat mengecam segera gambar anak kami. Kali terakhir kami melihat anak perempuan kami, dia memakai tudung merah yang sama seperti dalam gambar
yang disiarkan.' - Agensi.
My Blog List
-
-
-
-
SUKA MUHONG1 year ago
-
-
-
-
-
-
-
-
Mat Sabu akhirnya umum pertahan jawatan9 years ago
-
About Me
- Unknown
Label
Dendam berdarah di Russia tiada penghujung
Sunday, April 11, 2010Posted by Unknown at 8:40:00 AM