Style Sistem sekular di Singapura

Sunday, April 25, 2010


Tiada percanggahan antara sistem negara sekular dengan kebebasan mengamalkan agama, kata Mufti Singapura Syed Isa Semait.


Beliau menyampaikan pendapatnya itu semasa satu sesi dialog tertutup di akhir acara Program Mendekati Masyarakat yang berlangsung di Orchid Country Club baru baru ini. Dalam majlis itu turut dihadiri Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam

Semasa dihubungi kelmarin, Mufti Syed Isa berkata sistem sekular yang diamalkan di Singapura sesuai dengan konteks Singapura yang mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama.

'Semua agama menggalakkan kita untuk saling menghormati dan berbaik-baik antara satu sama lain.

'Namun, setiap agama tentu ingin menyatakan yang agama itu lebih sah daripada agama yang lain. Sistem sekular dapat disesuaikan untuk menghormati semua agama demi menjaga keamanan,' ujar Mufti itu.

Menurutnya lagi, beliau terdorong memberikan pandangannya itu setelah ada peserta bertanyakan tentang adakah Singapura mengamalkan sistem sekular sepenuhnya memandangkan ia memberikan (penganut) agama kebebasan beribadah sedangkan sekular membawa makna tiada agama.

'Sistem sekular di Singapura telah disesuaikan untuk mengiktiraf semua agama yang ada supaya masyarakatnya dapat hidup aman damai antara satu sama lain.

'Walaupun ini bermakna sistem yang diamalkan tidak sepenuhnya sekular, ia mengandungi dasar-dasar yang boleh membawa keselesaan hidup di Singapura,' ujar Mufti Syed Isa.

Tambahnya lagi, semua orang berhak menyuarakan pandangan. Dalam menyampaikan pandangan, seseorang juga harus melihat pandangannya dalam konteks Singapura

'Apakah sesuatu pendapat atau pandangan itu sesuai untuk Singapura harus diperiksa supaya kita dapat menjaga kestabilan dan keamanan di Singapura. Pandangan yang boleh menggoncangkan keamanan ini harus ditolak,' ujar beliau lagi.

Menurutnya, apa yang dilakukan pemerintah sekarang adalah menjaga keamanan dan keharmonian warga Singapura secara keseluruhannya.

Beliau percaya setiap kritikan yang dilemparkan terhadap sistem itu hanyalah sekadar pandangan yang belum pasti kesesuaiannya.- Linilidiahamid/bhs